Jerebu Juga Bala Tentera Allah

04:41 Unknown 0 Comments

Harus diingat juga akan peristiwa jerebu dan krisis politik yang berlaku pada tahun 1998 dahulu dan apa yang berlaku kini. Apa yang berlaku hampir sama dan diharap tidak berulang lagi. RAKYAT Malaysia seluruhnya – Islam dan bukan Islam - hendak bersabar dan insaf akan ujian dan bala jerebu dari Allah yang melanda beberapa negeri sejak dua tiga hari ini. Bala tsunami sehari selepas Hari Natal beberapa tahun dulu datang dengan tiba-tiba, mangsa tidak sempat berfikir, dan mangsa yang selamat saja dapat menginsafinya hingga bertahun-tahun. Bala jerebu ini dialami oleh semua memberikan banyak masa kepada manusia mengisafinya.

APAPUN kerosakan di laut, di darat dan di udara seperti jerebu adalah justeru gatal tangan manusia, demikian kira-kira maksud ayat 41 surah ar-Rum.

Tidakkah jerebu itu pula satu bentuk tentera Allah yang dikirim-Nya bagi memberi amaran kepada manusia? Seperti Allah menjadikan tentera-Nya dalam bentuk seekor nyamuk bagi membinasakan Namrud, maka jundullah dalam bentuk jerebu itu adalah amaran awal kepada kemaksiatan manusia dan ujian bagi orang yang amal soleh. Bala untuk umat Muhammad SAW tidaklah membinasakan manusia seluruhnya seperti yang dialami oleh umat sebelumnya, justeru janji Allah kepada baginda sebagai pengirimannya adalah rahmat kepada seluruh, maka umatnya tidak akan mengalami bala sepahit kaum Nuh, Aad, Tsamud dan lain-lain.

Tentera asap telah dirakamkan dalam al-Quran dalam surah Ad-Dukhan, betapa asal tebal berkepul-kepul telah melanda bumi mengancam musyrikin Makkah. Tentera asap itu bukan sekadar menyesakkan nafas manusia dan boleh mendatangkan penyakit, malah asap atau jerebu itu, memanaskan udara sekalipun redup, tetapi ia mengakibatkan kemarau bagi wilayah yang Allah hukum.

Apakah gara-gara yang dialami oleh kemarau? Tumbuhan dan tanaman tidak menjadi. Ia menyempitkan rezeki manusia dan binatang. Manusia putus minuman kerana tiada sumber air, putus bahan makanan kerana tanaman tidak menjadi. Apabila binatang baik ternakan dan yang liar mati kelaparan, akhirnya tiada apa yang manusia dapat makan kecuali pasir.
Manusia lupa kepada Allah dan menolak segala yang ditentukan oleh Allah. Maka Allah yang sayang kepada Malaysia kerana di kalangan rakyatnya masih ada ulama.Allah datangkan jerebu sebagai satu ingatan supaya rakyat dan Negara keseluruhannya kembali kepada peraturan Allah.

Allah tidak datangkan gempa bumi atau tsunami seperti di Aceh atau lain-lain bala yang menyebabkan rakyatnya mati bergelempangan. Ia datangkan bala yang tidak mematikan penduduknya serta merta, tetapi jerebu yang boleh mendatangkan penyakit, ia tidak mati segera dan serta merta, tetapi dengan penyakit itu boleh juga menyebabkan akhirnya ramai mati. Tetapi bala jerebu ini cukup untuk menyedarkan manusia bahawa ia adalah ujian gerangan kemurkaan Allah, maka bagi mereka yang mahu berfikir, mereka sewajarnya insaf dan menerima segala perintah Allah.

Kita fikir- fikirkanlah. Tetapi sekadar berdoa dan solat hajat saja tidak cukup. Selain dari doa dan solat hajat, yang lebih penting ialah kembali kepada cara hidup Islam. Wallahulam.


You Might Also Like

    0 comments: