Muhasabah Diri Dituntut Dalam Islam
Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta
beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang
mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah dengan angan-angan
(yang banyak), Rasulullah SAW.
Muhasabah diri merupakan amalan para anbiya’, mursalin dan
orang-orang soleh.
Muhasabah menurut Ibnu Qudamah ialah melihat keadaan modal,
keadaan keuntungan dan kerugian, agar dapat mengenalpasti sebarang penambahan
dan pengurangan. Modalnya dalam konteks agama ialah perkara yang difardhukan,
keuntungan ialah perkara sunat dan kerugiannya pula ialah maksiat.
Manakala Ibnul Qaiyim pula berkata muhasabah ialah membezakan
antara apa yang diperolehinya dan apa yang perlu ditanggungnya. Setelah
mengetahui yang demikian, maka dia hendaklah membawa apa yang diperolehinya dan
melunaskan apa yang ditanggungnya. Dia seolah-olah seorang musafir yang tidak
akan kembali.
Rasulullah SAW sendiri pernah memuji sikap muhasabah di dalam
hadith Baginda yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi daripada Syadad bin Aus
RA iaitu “Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta
beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang
mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah dengan angan-angan
(yang banyak).”
Memetik kata-kata seorang ulama iaitu as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie
yang pernah menyatakan di dalam kitabnya Burhan al-Muayyad bahawa “Daripada
takut, akan timbulnya muhasabah. Daripada muhasabah, timbulnya muraqabah.
Daripada muraqabah, hati akan sentiasa sibuk bersama Allah SWT”.
Umat Islam diseru agar memulakan hari- hari yang baru dengan
menanamkan semangat menyampaikan sesuatu yang baik dengan penuh kebenaran.
“Kebenaran yang hakiki itu kadangkala menuntut kita bersikap yakin
dan berani dalam setiap hal. Hayatilah ungkapan “Berkatalah benar sekalipun
pahit” untuk menjadi satu semangat kepada kita bilamana berhadapan dalam setiap
cabaran dan dugaan,”
“Namun kata-kata benar yang hendak kita lafazkan haruslah
berprinsip dan beretika. Kita juga hendaklah saling ingat mengingati untuk diri
dan orang lain juga atas prinsip kebenaran. Maka jika timbal balik antara jiwa
benar kita dituai maka harapan untuk mencapai hakikat kebenaran dalam
masyarakat boleh tercapai,”
Umat Islam dituntut untuk bersatu dan berhenti dari berbalah dan
bersengketa antara satu sama lain.
“Siapakah yang akan mengaut keuntungan jika umat Islam bercakaran
dan bersengketa sesama sendiri? Siapa lagi yang boleh membela agama Islam dan
mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara jika masing-masing telah terbakar
menjadi abu?
“Adakah kepada musuh islam kita mahu menyerahkan nasib agama dan
bangsa kita? Ingatlah..tidak ada jaminan masa depan buat diri, keluarga dan
agama jika kita tidak bersatu dan saling menyokong antara satu sama lain
bermula hari ini”.
0 comments: